WALIMATUL URUS MENGIKUT ADAT ISTIADAT MASYARAKAT JAWA
PENDAHULUAN
Kebudayaan asli
Jawa telah wujud sejak zaman pra-sejarah lagi iaitu dengan kedatangan bangsa
hindu di Jawa. Maka dalam adat istiadat Jawa juga tidak terlepas daripada
dipengaruhi oleh unsur-unsur asli Jawa, Hindu dan Islam. Dalam menelusuri nilai
adat istiadat Jawa ini, terungkap nilai-nilai yang lebih mendalam orang Jawa
iaitu nilai kebersamaan, keakraban, dan keturunan sekaligus meletakkan individu
adalah sama darjatnya antara satu sama lain kecuali golongan yang memiliki
kedudukan yang lebih tinggi dalam masyarakat.
Daripada tema
adat dan upacara perkahwinan adat Jawa khususnya dapat dilihat dalam hal-hal
yang berkaitan dengan adat-adat sebelum perkahwinan, adat istiadat ketika
upacara perkahwinan dan adat-adat selepasnya. Ketiga-tiga unsur tersebut cuba
melihat bagaimana proses perlaksanaan dan pemantapan suatu adat dalam
perkahwinan masyarakat Jawa dalam bentuk aturan yang ditetapkan dalam adat
mahupun dalam upacara yang dilaksanakan.
Kesimpulanya,
masyarakat Jawa mempunyai perkaitan yang amat kuat mengenai aspek psikologi dan
sosial. Dari sudut psikologi dapat dilihat tujuan dan kepercayaan daripada
sesuatu adat itu dilakukan sementara dari sudut sosialnya pula mereka sering
mendambakan keharmoniaan dalam kehidupan mereka. Mereka juga sentiasa mencari
keselarasan diantara manusia dengan manusia dan manusia dengan alam. Kesemuanya
adalah berkait rapat dengan nilai Jawa yang masih diamalkan dikalangan
masyarakat dengan tujuan mencari keharmonian diantara anggota masyarakat
disamping mengharapkan keredhaan Allah.
KONSEP WALIMATUL URUS
Pengertian bagi walimatul urus adalah kenduri bagi meraikan atau
merayakan pengantin baru. Walimah juga ialah jamuan adat kebiasaan yang dibuat
kerana Allah, bukan jamuan kebanggaan dan bukan sumber untuk mendapat
keuntungan duniawi.[1]
Dalil yang menyatakan mengenai perkahwinan di dalam Al-Quran :
والله جعل لكم
من أنفسكم أزوجا وجعل لكم من أزوجكم بنين وحفدة ورزقكم من الطيبت أفبالبطل يؤمنون
وبنعمت الله هم يكفرون
Maksudnya : “dan Allah menjadikan kamu pasangan (suami dan
isteri) dari jenis kamu sendiri dan menjadikan anak dan cucu bagimu dari
pasanganmu, serta memberimu rezeki yang baik. Mengapa mereka beriman kepada
yang batil dan mengingkari nikmat Allah ?”[2]
Serta mengadakan walimah berdasarkan Sabda Rasulullah S.A.W:
أَولم ولو بشاَة
Maksudnya : “berwalimahlah engkau walaupun dengan seekor
kambing”. (Riwayat Bukhari)Lazimnya, majlis walimah diadakan sebagai satu bentuk
pengisytiharan kepada umum bahawa telah terbentuk suatu ikatan halal antara
lelaki dan perempuan agar kekeliruan tidak berlaku di kemudian hari. Rasulullah
S.A.W juga telah mengarahkan agarsetiap perkahwinan dihebahkan kepada umum, selain
tujuannya utuk mengesahkan telah berlakunya pernikahan tersebut ialah
sekurang-kurangnya perlu ada dua orang saksi.
Walimah boleh diadakan pada waktu akad nikah, atau selepasnya
ataupun setelah kedua-dua suami isteri bersetubuh. Masalah ini terserah menurut
adat setempat. Menurut Riwayat Rasulullah S.A.W, Baginda mengundang
sahabat-sahabat untuk berwalimah setelah Baginda mencampuri isterinya Zainab.[3]
TUJUAN WALIMATUL URUS
Tujuan mengadakan
majlis walimah adalah untuk mengumumkan
pernikahan di samping menggembirakan pengantin yang baru menjejaki jinjang
pelamin dan ia juga sebagai tanda kegembiraan orang tua kerana mendapat menantu
baru. Pengumuman yang sebaik-baknya ialah majlis perkahwinan yang diadakan di
masjid dan dipukul gendang rebana.
Sabda Rasulullah S.A.W maksudnya :
“ Umumkanlah perkahwinan dan selenggarakanlah di masjid dan
pukullah gendang dan rebana pada hari perkahwinan itu”. (Riwayat Ahmad dan
Tirmizi)[4]
Oleh yang demikian, dalam meraikan kegembiraan tersebut adalah
penting bagi kita untuk membezakan antara adat dan ibadat yang perlu dipatuhi.
Tidak menjadi kesalahan kepada kita untuk mengikut adat resam sesebuah kaum
asalkan adat itu tidak bertentangan dengan syara’.
Islam menggalakkan hiburan yang sederhana dan sopan dengan
menggariskan beberapa syarat seperti berikut :
1.
Tiada
pergaulan bebas antara lelaki dan wanita yang bukan mahram.
2.
Nyanyian
dan muzik yang digunakan tidak menimbulkan nafsu.
3.
Tidak
melalaikan ingatan dan kewajipan terhadap Allah.
4.
Seni
kata nyanyian tidak mengandungi perkataan-perkataan cabul atau tidak sopan.[5]
PEMBAHAGIAN HUKUM WALIMATUL URUS
Hukum
Mengadakan Majlis Walimatul Urus
Daripada Syeikh Ahmad Bin Husain Al-Isfani mengatakan bahawa hukum mengadakan walimatul
urus adalah sunat, sedangkan memenuhi undangannya adalah wajib di hadiri
kecuali memiliki uzur syar’i.[6]
Selain itu, Abdul Azhim Bin Badawi Al-Khalafi dalam penulisannya
mengatakan wajib bagi orang yang menikah untuk menyelenggara walimah setelah
menggauli isteri, sebagaimana perintah Nabi S.A.W kepada hadith yang telah
diriwayatkan oleh Buraidah Bin Al-Hasyib, ia berkata :
لما خطب على
فاطمة رضى الله عنها قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : إنه لا بد للعرش من
وليمة
Maksudnya : Tatkala Ali meminang Fatimah R.A ia berkata,
Rasulullah S.A.W bersabda, “sesungguhnya merupakan keharusan bagi pengantin
untuk menyeleggarakan walimah”.
Ada beberapa hal yang harus diperhatikan, iaitu :
PERTAMA : Walimah hendaklah diselenggara selama tiga hari setelah dukhul
(suami menggauli isteri)
KEDUA : Mengundang orang-orang soleh untuk menghadiri walimah
tersebut, baik dari kalangan orang miskin mahupun orang kaya.
KETIGA : Menyelenggara walimah dengan seekor kambing atau lebih
jika ia memiliki keluasan rezeki.[7]
Hukum
Menghadiri Majlis Walimatul Urus
Menerima
jemputan ke majlis perkahwinan adalah wajib terhadap setiap orang yang di
jemput kecuali ada sesuatu keuzuran. Tidak dapat menghadirinya disebabkan sakit
atau sebagainya. Sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W.[8]
Hukum menghadiri kenduri kahwin
adalah wajib bagi orang yang dijemput. Sabda Nabi S.A.W :
إذا دعي أحدكم إلى الوليمة فلياتها
Maksudnya
: apabila kamu dijemput ke kenduri walimah, maka pergilah. (Riwayat Bukhari,
no 4878).[9]
DIFINISI ADAT DAN ‘URF
Perkataan adat
mempunyai pelbagai takrif. Mengikut Kamus Dewan Bahasa, adat membawa maksud
peraturan yang sudah diamalkan turun temurun (sejak dahulu kala) di dalam
sesebuah masyarakat sehingga merupakan hukum dan peraturan yang harus dipatuhi.
Selain itu, adat juga ditakrifkan sebagai cara yang sudah menjadi kebiasaan dan
sifat.
Muhammad Al-Jurjani menjelaskan bahawa adat adalah sebagai amalan
atau pegangan manusia yang berkekalan mengikut pertimbangan akal fikiran yang
dilakukan secara berulangan. Ini bermaksud, adat ialah suatu perkara yang
menjadi amalan serta kelaziman atau kebiasaan yang dilakukan oleh manusia sejak
dari dahulu lagi sehingga sekarang. Adat yang diamalkan itu dilakukan secara
berterusan selagi ia diterima masyarakat. Ada sesetengah pendapat bahawa adat
merupakan perkataan berulang-ulang yang mantap pada jiwa cara hidup yang sihat.
Kebanyakan pendapat membahagikan adat kepada empat bahagian iaitu,
adat sebenar adat, adat yang diadatkan, adat yang teradat dan adat istiadat.
Islam tidak menolak semua sekali budaya yang sudah diamalkan oleh masyarakat.
Kebiasaanya ‘urf telah diterima sebagai salah satu sumber hukum Islam.[10]
Sementara ‘urf pula
ditakrifkan sebagai perkara yang ditetapkan dalam manusia dari segi akal
fikiran dan diterima baik oleh tabiat yang sejahtera atau sempurna iaitu
tiap-tiap perkara yang tetap di dalam jiwa atau diri seseorang dan dirasakan
seksa kerana dilakukan berulang kali. Perkara yang dilakukan berulang kali ini
berpunca dari perkara-perkara yang dianggap baik oelh akal fikiran serta
diterima oleh orang-orang yang mempunyai perasaan yang waras di dalam satu
kumpulan.
Bagaimanapun, sangat penting bahawa ‘urf atau kelaziman
berkenaan adalah tidak bertentangan dengan nas syarak atau prinsip umum syariat
Islam. Kalau ianya bertentangan dengan hal-hal berkenaan, ia mesti dibatalkan.
Dalam bahasa para fuqaha’, ‘urf seperti itu sebagai ‘urf fasid,
iaitu kelaziman buruk dan tidak diterima sebagai sumber hukum.[11]
PENGENALAN
MASYARAKAT JAWA
Orang Jawa dari segi zahirnya,
berkulit sawo matang, berbadan sederhana besar serta tegap dan selalu berlemah
lembut serta berbudi bahasa. Etnik Jawa merupakan sebahagian daripada kelompok
Melayu yang terdapat di Malaysia dan sudah lama bertapak disini. Pada masa ini,
penempatan orang Jawa tertumpu dibahagian barat Semenanjung Malaysia terutama
di Barat Johor, Selangor dan Perak. Dipercayai, tempat yang mula-mula diduduki
adalah kawasan Padang, Parit Jawa, Muar.
Orang
Jawa berhijrah ke Tanah Melayu pada awal abad ke-20 untuk bekerja sebagai buruh
di ladang kopi, lading getah dan juga di lombong-lombong bijih timah.
Kedatangan mereka ke Tanah Melayu bukan sahaja untuk bekerja di ladang tetapi,
juga dipengaruhi oleh faktor ekonomi, politik dan sosial.
Menurut Wikipedia, kebanyakan
imigran Jawa yang datang ke Tanah Melayu berasal dari beberapa buah daerah di Pulau Jawa seperti di Jawa Barat,
Jawa Tengah dan Jawa Timur seperti dari kawasan Madiun, Ponogoro, Kudrejo, Lebumin,
Demek dan Magelan.
Sejarah mengatakan bahawa, imigrin
Jawa berhijrah ke beberapa pulau lain sebelum ke Tanah Melayu. Antara pulau
yang menjadi kawasan penempatan mereka ialah Singapura dan Palembang.
Etnik Jawa era 60-an menggunakan
nama seperti Suparji, Wagiman, Supendi dan selainnya bagi kaum lelaki dan nama
seperti Supinah, Tukijah, Jumiton dan sebagainya bagi kaum perempuan. Mereka
juga sering menggunkan nama seperti Man, Ganden, Amat Ireng dan sebagainya
namun, nama dan gelaran itu sudah tidak diguna pakai lagi seiring dengan peredaran zaman.[12]
ADAT ISTIADAT PERKAHWINAN MASYARAKAT JAWA
Kini adat istiadat
menjadi kurang penting dalam kehidupan moden dan upacara pernikahan adat makin
jarang dilakukan. Padahal pernikahan adalah peristiwa yang sangat penting dalam
kehidupan seseorang dan upacara-upacara yang dilaksanakan di dalam pernikahan
merupakan adat dan tradisi yang perlu dilestarikan.[13]
Antara
upacara-upacara yang dilakukan dari pelamaran sampai resepsi, simbolisme, dan
makna upacara dan bahan-bahan yang digunakan.
·
Pelamaran
Secara adat pelamaran terdiri dari
tiga bahagian iaitu :
1.
Nontoni : Nontoni adalah langkah pertama untuk pernikahan seorang lelaki
dengan orang tuanya iaitu pergi ke rumah gadis untuk melihat dan memutuskan
kalau dia mahu melamar gadis tersebut.
2.
Nglamar
: saudara lelaki disuruh untuk menyampaikan lamaran secara lisan
atau tertulis.
3.
Srah-srahan
: Jika gadis tersebut setuju untuk bernikah, upacara srah-srahan
diadakan. Peningset, bermacam-macam hadiah diberikan oleh lelaki kepada
gadis untuk menentukan pertunangan. Hadiah
biasanya termasuk pakaian, perhiasan, alat-alat rumah tangga, wang dan
lain-lain. Tergantung kepada kemampuan keluarga pengantin lelaki.
Kini, kerana orang
tua makin jarang menjodohkan anaknya dan kebanyakan orang muda berpacaran
terlebih dahulu, upacara nantoni tidak dilakukan lagi. Walaupun orang
muda memutuskan untuk menikah sendiri, calon pengantin lelaki biasanya masih
melamar secara rasmi dengan cara ngalamar.[14]
UPACARA SEBELUM
PERNIKAHAN
·
Persiapan
Sesudah pelamaran seorang lelaki diterima oleh seorang wanita,
perencanaan pernikahan dimulakan. Majlis pernikahan merupakan tanggungjawab
orang tua pengantin perempuan dan upacara-upacara biasanya diselenggarakan
dirumahnya. Hari yang baik untuk pernikahan ditentukan secara adat, bulan yang
baik untuk pernikahan dipilih menurut bulan Jawa, kalau sesuai dan tanggal
lahir kedua pengantin dihitung untuk menentukan hari upacara.
Tarub
Secara fungsinya,
tarub (daun kelapa yang masih muda) adalah tempat sementara untuk
tamu didepan rumah, tetapi kepentingannya lebih kepada fizikal sahaja. Tuwuhan,
daun-daun dan buah-buahan yang digantung dikiri dan kanan gerbang atau pintu masuk
mempunyai ertinya yang tersendiri. Upacara pernikahan dimulai dengan pemasangan
bleketepe ( anyaman daun kelapa yang hijau), anyaman janur yang kecil
yang digantung di tengah gerbang untuk menghalau roh-roh jahat.
Sesaji
Ada banyak perkara yang
perlu diuruskan sebelum upacara bermula. Salah satunya ialah sesaji atau
sajen. Kehendak orang yang menyajikan sajen adalah upacara-upacara
selamat dan sejahtera, sehingga upacara lancar, selamat dan tidak ada
kekurangan. Sesaji terdiri daripada berbagai jenis makanan, buahan-buahan dan
minuman, bunga-bunga dan bahan-bahan lain. Ada beberapa sesaji yang
disediakan khusus untuk upacara-upacara pernikahan dan campuran bahan-bahan
untuk setiap sesaji tergantung pada maksud dan maknanya.
·
Nyantri
Upacara nyantri adalah menitipkan calon pengantin lelaki
kepada keluarga pengantin perempuan sehari hinnga dua hari sebelum pernikahan.
Calon pengantin lelaki akan ditempatkan dirumah saudara atau tetangga terdekat.
Upacara nyantri ini dimaksudkan untuk melancarkan jalanya upacara
pernikahan sehingga saat-saat upacara pernikahan dilangsungkan. Maka calon
pengantin lelaki sudah siap ditempatkan sehingga tidak menyusahkan pihak
keluarga pengantin perempuan.[15]
·
Siraman
Upacara siram-siraman dari
kata dasar (Jawa) yang bererti mandi. Siraman yang dimaksudkan adalah
memandikan calon pengantin yang bererti membersihkan diri agar menjadi suci dan
bersih. Antara bahan-bahan untuk upacara siraman :
1.
Bunga
kembang setaman secukupnya.
2.
Lima
macam konyoh panca warna (penggosok badan yang terbuat dari beras kencur
yang diletak pewarna).
3.
Dua
biji kelapa hijau yang tua masih ada sabutnya .
4.
Kendi
atai klenting.
5.
Lima
macam bangun tulak (kain putih yang tepinya diwarnai biru).
6.
Daun-daun
: kluih, koro, awar-awar, turi, dadap srep, alang-alang.
7.
Satu
macam kayu sekandang (kain tenun berwarna coklat ada garis-garis benang
kuning).
8.
Tikar
berukuran ½ meter persegi.
9.
Satu
macam pulo watu (kain berwarna putih lorek hitam), sehelai letrek
(kain kuning), sehelai jingo (kain merah).
10.
Sabun
dan handuk.[16]
·
Pemecahan
Kendhi
Sesudah acara siraman
diselesaikan, ibu pengantin menjatuhkan dan memecahkan kendhi pemacahan
ini adalah simbol pengantin sudah dewasa dan siap untuk meninggalkan keluarga
untuk memulakan kehidupan baru selepas bernikah dengan keluarga sendiri, orang
tuanya tidak mempuyai tanggungjawab lagi.[17]
UPACARA
PERNIKAHAN
·
Upacara
Akad Nikah
Akad nikah adalah upacara pernikahan
agama dan secara rasmi. Menurut pemerintah cuma nikah yang perlu dilaksanakan
untuk bernikah secara hukum. Upacara ini boleh dilakukan di gereja untuk orang
kristian, di masjid untuk orang Islam ataupun dirumah. Berikut adalah cara akad
nikah Islam yang diselenggarakan dirumah pengantin perempuan. Pengantin
perempuan memakai kain dengan kebaya putih yang halus sekali dan juga memakai
bunga melati dirambutnya. Pengantin lelaki memakai jas dan kopiah dan duduk di
seberang meja dari calon isteri yang duduk ditengah ibu dan bapanya.
Pertama
penghulu dari urusan agama membaca syarat-syarat untuk pernikahan. Pengantin
lelaki harus menyetujui untuk memenuhi semua sayarat-syarat ini dan bersumpah
untuk menjaga dan melindungi isterinya. Ayah pengantin lelaki menyerahkan anak
perempuannya kepada pengantin lelaki. Sesudah kedua belah pihak sudah setuju
untuk dinikahkan, kedua pengantin dan
kedua orang saksi menandatangani surat nikah. Kedua saksi ini dihadirkan untuk menentukan
bahawa kedua pengantin bernikah atas keinginan sendiri, bukan paksaan.[18]
·
Upacara
Panggih
Pada siang hari sesudah akad nikah upacara
pernikahan adat dilaksanakan. Untuk acara ini, orang tua lelaki tidak di
benarkan ikut. Pasangan pengantin memakai pakaian tradisional. Pertama, ada
‘temu pengantin’, pengantin lelaki membawa pisang raja sebagai tanda dia sudah
siap dan masuk gerbang atau pintu depan diikuti dua orang pendamping (saudara
atau kawan yang akrab dengan orang tuanya) yang membawa payung. Lalu kedua
pengantin menukar kembar mayang sebagai tanda pengantin masih suci,
belum kahwin. Kembar mayang ini di lempar di atas tarub untuk
melambangkan hidup pasangan nanti selalu naik ke atas. Di daerah-daerah di Jawa
ada perbezaan kecil, beberapa dijelaskan dibawah, tetapi kebanyakannya sama.
Upacara panggih ini, dimulai dengan sawat-sawatan
ataupun balangan gantal sirih. Pengantin lelaki dan perempuan saling
melempar daun sirih. Maknanya bertemu perasaan (melempar hati), dan dianggap
waktu yang menyenangkan. Tetapi dahulu acara ini berasal dari kepercayaan
bahawa daun sirih boleh membuat makhluk yang menyamar sebagai pengantin boleh
kembali kepada bentuk asalnya.
Kemudian dimulakan upacara wiji dadi
iaitu pengantin lelaki meletakkan telur ayam kampung pada dahi dirinya sendiri
dan dahi pengantin perempuan dan kemudian melempar telur tersebut supaya pecah,
ini melambangkan pemikiran kedua pengantin menjadi satu supaya boleh mengatasi
masalah. Acara ini menunjukkan kesucian perempuan, bahawa dia masih gadis dan
sebagai simbol mengembangkan keturunan bahawa dia akan menjadi ayah. Kakinya
dibasuh dengan air bunga setaman, berisi bunga melati, bunga mawar dan bunga
kenanga. Di bersihkan oleh pengantin perempuan yang duduk di depan lelaki. Ini
melambangkan bahawa perempuan menghormati suaminya dan bahawa dia tetap setia
dan tetap sedia melayani suaminya.
Lalu kedua
mempelai bersalaman, berpegangan tangan dengan jari kelingking, dan ibu
pengantin perempuan menutup bahu keduanya dengan kain selendang bewarna putih
dan merah. Warna merah melambangkan gula merah dan putih melambangkan kelapa
kerana banyak digunakan dalam makanan. Pengantin dihantar oleh ayahnya ke
kerusi pelamin, lambang ayahnya menunjukkan kepada pasangan mempelai jalan
hidup yang baik supaya bahagia, dan ibu memberi semangat.
Kedua pengantin duduk di pangkuan ayah
pengantin perempuan, perempuan di kaki kiri, manakala lelaki di kaki kanan. Ibu
pengantin perempuan bertanya kepada suaminya siapa yang lebih berat dan dia
bertanya mereka sama sahaja. Ini adalah simbol kepentingan bersama, tidak ada
perbezaan diantara anak sendiri dan menantu.
Kemudian ada acara
kacar-kucur. Pengantin lelaki memberikan beras, kacang dan duit receh
yang dibungkus dalam kain bewarna merah dan putih kepada wanita, seterusnya
diberikan kepada orang tuanya. ,maksudnya suami akan memberi hasil kerja atau
kekayaan kepada isterinya untuk disimpan.
Akhirnya, pasangan pengantin makan bersama dalam acara dahar
klima, biasanya nasi kuning dan lauk pauk dan bermacam-macam makanan
misalnya telur dadar, tempe kering, bergedel, abon dan lain-lain. Pertama,
pengantin lelaki memberi makanan kepada isterinya dan kemudian pengantin
perempuan memberi makanan kepada suaminya dan terus menyuap bersama. Acara ini melambangkan
bahawa mereka saling memberi dan menerima bahawa hasil rezeki akan dipakai
bersama.
Ditambah dengan acara biasa, kalau penggantin perempuan adalah anak
pertama atau anak terakhir, ada upacara lain. Jika dia anak pertama minuman
terbuat dari kelapa hijau yang di minum oleh ayah dan ibunya dan diikuti
pasangan pengantin. Ibu pengantin perempuan bertanya kepada ayahnya bagaimana
rasanya dan dia menjawab rasa segar dan enak, tidak ada yang kurang. Dia
menjawab begitu agar rumah tangga selalu segar. Jika pengantin perempuan anak
terakhir, jadi ada duit yang dibagikan kepada saudara-mara pengantin perempuan.
Upacara ini diselesaikan dengan pasangan pengantin meminta doa
restu dari kedua orang tua. Jika menurut upacara pernikahan Jawa Timur, sebelum
uapacara panggih dimulai pengantin lelaki membawa ayam untuk diberi
kepada tunangan. Pengantin lelaki berbicara dan berkata kepada wakil perempuan
bahawa dia mencari jodoh untuk ayamnya. Kemudian, ayam diberikan kepada wakil
perempuan dan kedua pengantin baru boleh berjumpa.[19]
·
Upacara
Nincak Endog
Upacara ini yaitu dinamakan juga
injak telur. Pengantin lelaki berdiri di tangga dan pengantin perempuan berdiri
di anak tangga satu tingkat lebih tinggi. Antara bahan untuk upacara ini ialah
:
1.
Tujuh
tangkai sagar – sifatnya keras, tidak mudah patah iaitu peringantan kepada
kedua pengantin agar jangan cepat marah keranan mengakibatkan hidup yang tidak
harmoni.
2.
Telur
ayam – melambangkan keinginan untuk menjadi orang yang bertanggungjawab dan
keinginan isteri utuk mengikut bimbingan suami.
3.
Pelita
dengan tujuh sumbu – untuk menerangkan cara mengurus rumah tangga supaya
keduanya asah, asuh dan kasih.
4.
Potongan
bambu yang kosong – jangan sampai kosong, harus berilmu
5.
Kendhi
berisi air bening – sebagai alat pembersih dan pendingin untuk membuat suasana
yang baik.
6.
Papan
– untuk memijak telur. Lelaki atau perempuan yang belum bernikah tidak boleh
melangkahi papan kerana kepercayaan kalau terjadi mereka tidak akan dapat
jodoh. Tetapi yang sudah menikah harus melangkahi papan untuk melambangkan
isteri harus mengikuti bimbingan suaminya.
Pengantin lelaki
memegang pelita yang dinyalakan dan pengantin perempuan membakar tujuh tangkai
sagar dengan apinya. Api dimatikan, selanjutnya sagar dipatahkan dan dibuang. Kemudian
mempelai lelaki memijak telur sampai pecah dan kakinya dibersihkan oleh
mempelai wanita. Lalu kedua pengantin melangkahi papan tersebut bersama.
Pengantin perempuan masuk rumah tetapi pengantin lelaki menunggu diluar untuk
upacara berikutnya.
Pengantin lelaki
mengetuk pintu tiga kali untuk memulai upacara buka pintu. Pengantin perempuan
menjawab dengan pertanyaan san diteruskan dengan tanya jawab syair tertentu dan
akhir pengantin perempuan meminta kepada suaminya untuk membacakan doa. Doa ini
merupakan janji keduanya akan tetap setia. Akhirnya pengantin lelaki boleh
masuk kerumah.
Dalam upacara huap
lingkung kedua mempelai makan bersama. Pengantin lelaki melingkarkan tangan
kananya ke tengkuk pengantin perempuan begitu juga sebaliknya. Mereka saling
memberi makanan tiga kali dan lalu memberi minuman. Kemudian adalah rebutan
ayam. Kedua mempelai memegang kaki ayam dan menarik sampai terbahagi dua .
siapa dapat bahagian paling besar akan dapat rezeki yang paling besar. Upacara
ini juga bermakna kedua mempelai harus bekerjasama untuk mencari rezeki.[20]
MAJLIS RESEPSI
Pada sore (petang) atau malam
sesudah upacara pernikahan resepsi diselenggarakan untuk merayakan pernikahan.
Pasangan suami-isteri yang baru menikah memasuki ruangan yang disediakan untuk
resepsi dengan upacara kirab. Pertama, cucuking lampah, serang
sebagai penunjuk jalan, masuk dan lalu pasangan pengantin didahului patah
sakembar, dua orang budak perempuan berpakaian kembar. Pasangan pengantin
diikuti kelompok perumpuan yang terdiri adik dan saudara perempuan yang belum bernikah, orang
tua pengantin dan keluarga lain.
Kalau ada hiburan biasanya merupakan
tarian tradisional untuk sambutan sahaja atau muzik gamelan yang mengiringi
selama resepsi. Tetamu yang diundang memberi hadiah, menandatangani buku tamu
dan memberi salam dan selamat kepada pengantin suami-isteri baru. Makanan yang
disajikan dan tetamu diterima selama kurang lebih dua jam, tergantung kepada
jumlah yang hadir. Akhirnya upacara pernikahan selesai dan pasangan
suami-isteri pulang untuk mulai kehidupan bersama.[21]
MAKNA
TERSIRAT SIMBOL PEMAKAIAN BATIK DALAM ADAT ISTIADAT WALIMAH MASYARAKAT JAWA
Dalam perbahasan
ini, hanya akan di ketengahkan makna dari segi tata busana yang di kenakan oleh
sepasang pengantin untuk melihat makna-makna disebalik pakaian yang digunakan
dan upacara yang berkait dengan tata rias pengantinnya. Antara pakaian yang
sering digunakan masyarakat Jawa dalam istiadat perkahwinan mereka ialah :
·
Batik
Grompol
Asal makna batik grompol
ini ialah dompol-grombol membawa erti kumpulan barang. Nama bentuk
cincin permata atau sesuatu pengharapan si pemakai di dalam kehidupannya
diibaratkan sebuah pohon yang penuh dengan bunga dan sarat dengan buahan. Corak
motif bunga ada enam yang keseluruhannya membawa maksud Tuhan sentiasa
melimpahkan rahmat dan anugerah kepada si pemakai, agar selalu hidup tenteram,
banyak rezeki, banyak anak, hidup aman dan sejahtera selamanya. Sesuai dengan
fungsinya dalam upacara perkahwinan, tempatnya digunakan semasa siraman oleh
calon pengantin.
·
Batik
Truntum
Batik Truntum menggambarkan bunga dilihat
dari depan terletak pada bidang berbentuk segi empat tempat. Truntum berasal
dari bahasa (Jawa) yang bermaksud tumbuh lagi. Taruntum memliki erti sentiasa
tumbuh, bersemi dan semarak lagi. Pola batik Truntum menggambarkan sebuah
rangkaian bunga-bunga kecil berserta sari-sarinya ibarat bunga melati yang
sedang mekar dan berkembang. Suatu pengaharapan bagi si pemakai supaya
mempunyai hubungan yang harmoni, kasih sayang, baik kehidupan suami isteri,
anak hormat kepada orang tua dan keluarga.[22]
·
Batik
Semen Ageng
Pemakaian batik ini
adalah mempunyai erti pucuk dan tunas. Bererti tumbuhnya tanaman sehingga
membuat indahnya alam. Pola Batik Semen Ageng ini mempunyai unsur-unsur
seperti perahu yang bawa erti dunia bawah air menggambarkan lapang hati dan
lapang dada. Pohon hayat menggambarkan makna kehidupan dan kemakmuran. Simbol
garuda yang membawa erti agar mempunyai sifat berani dan tabah. Acara pemakaian
ini di kenakan oleh pengantin lelaki dan wanita dalam upacara panggih.
Tatarias pengantin Jawa
mempunyai simbol-simbol yang berkaitan dengan falsafah hidup orang Jawa yang
bernilai tinggi dan bermakna dalam masyarakat Jawa. Percaya dan meyakininya bahawa
makna yang terkandung dalam lambang tata rias pakaian pengantin khususnya dalam
pemakaian batik dengan cara terlalu percaya (tidak sembarangan), kerana bagi
mereka hal ini mempengaruhi kehidupan mereka di masa hadapan. Bukan sekadar
bermakna namun menjadikan orang itu bersikap sesuai dengan lambang dan
maknanya.[23]
HIDANGAN MAKANAN WALIMATUL URUS MASYARAKAT JAWA
Makanan adalah adat yang rasmi yang
ditentukan untuk disajikan dalam upacara adat sesebuah masyarakat antara salah
satunya dalam majlis perkahwinan. Makanan yang disajikan di dalam adat walimah
masyarakat Jawa seperti berikut :
1.
Makanan
Yang Dihidangkan Sebelum Upacara
Perkahwinan
Makanan
yang dibahagikan untuk ahli keluarga
Makanan yang
dibahagikan untuk keluarga terdekat terdiri dari : nasi putih, rendang daging,
gulai nangka, mee goreng kering dan keropok. Cara pembahagiannya pula ketika
dihantar hidangan makanan itu tidak ditutup dengan bekas sebaliknya hanya tutup
menggunakan daun pisang.
Acara
Slameten (kesyukuran)
Upacara slameten merupakan acara
bersyukur kepada tuhan yang Maha Esa, dan semoga seterusnya moga dilancarkan
segala urusan sampai selesai upacara perkahwinan. Adapun hidangan yang di
sajikan seperti : nasi putih dan lauk-pauk, pelengkapnya lengkong Jawa, bubur
merah dan putih.
·
Acara
Marhaban
Acara Marhaban adalah
suatu bacaan selawat keatas Nabi S.A.W, pembacaan Al-Quran dan ritual pemberian
bunga dan bedak tabor kepada sepasang pengantin dan diakhiri dengan makan
bersama. Makanan yang disajikan adalah bukan salah satu adat pada upacara
perkahwinan.[24]
2.
Makanan
Yang Dihidangkan Saat Upacara Perkahwinan
Makanan
Yang Dihidangkan Untuk Pengantin
Makanan yang dihidangkan pada malam
panggih temetan adalah nasi kuning dan pelengkapnya nasi putih serunding,
mee goreng kering dan minuman adalah air putih.
·
Makanan
Yang Dihidangkan Untuk Tetamu Undangan
Makanan
yang dihidangkan ada dua jenis. Pertama, makanan yang biasa-biasa seperti wajik,
kembang Loyang, jenang dan sebagainya. Kerana pengolahan mengikut
adat lama terlalu banyak, kini pengolahan makanannya dimudahkan.
3.
Makanan
Adat Pada Majlis Penutup Perkahwinan
·
Makanan
Yang Dihidangkan Untuk Upacara Penutup
Setelah
semua majlis selesai dengan jayanya, maka acara yang berikutnya adalah dengan
menyajikan bubur sumsum yang rutin dibagikan sebagai penutup pada acara majlis
perkahwinan. Bedasarkan penelitian makanan yang diberi sebagai makanan penutup
tidak sama rata.[25]
PENUTUP
Kesimpulannya,
setelah melihat adat istiadat perkahwinan masyarakat Jawa, di sini kita dapat
lihat bahawa sesebuah bangsa yang bertamadun boleh dikenali melalui tingkah
laku, budaya dan adat istiadat. Adat istiadat merupakan tingkah laku sosial,
peraturan, cara mereka berfikir dan cara bertindak sesebuah masyarakat yang
terbentuk setelah dilakukan berulang kali dengan ditambah menurut keperluan,
cara berfikir dan cara bertindak masyarakat tersebut.
Adat
sangat memainkan peranan yang sangat penting dalam kehidupan masyarakat Jawa
khusunya kerana ia di anggap sebagai satu peraturan. Adat yang diamalkan oleh
masyarakat Jawa ini sedikit sebanyak telah dipengaruhi oleh unsur Hindu. Namun
ada juga adat yang berkaitan dengan hukum syarak.
Selain
itu, pengaruh-pengaruh adat yang diamalkan oleh golongan nenek moyang kita yang
sangat berpengalaman amatlah begitu rapi. Ini telah menjadi satu kebanggaan
kepada generasi yang akan datang kerana warisan yang terus diamalkan itu
menjadi suasana perkahwinan itu bertambah meriah.
Akhir
kata, pengaruh adat dalam masyarakat amatlah kuat sebagai panduan dan pedoman
kepada generasi akan datng. Berbagai-bagai aturcara yang dilakukan oleh
masyarakat Jawa ini. Ini adalah untuk menjadikan majlis perkahwinan itu suatu
hari yang paling bersejarah bagi kedua raja sehari, keluarga, kedua belah pihak
dan seterusnya saudara mara dan sahabat handai.
RUJUKAN
1.
Al-Quran.
2.
As-Sunnah.
3.
Fiqh
Islam Mazhab Syafie, Syeikh Ahmad Bin Husain Al-Isfahani, Cetakan Pertama 2015,
Terbitan Al-Hidayah Publicatian.
4.
Panduan
Fiqh Lengkap, Jilid 2, ‘Abdul ‘Azhim Bin Badawi Al-Khalafi, Cetakan Pertama
Syawal 1426 H, Terbitan Pustaka Ibnu Katsir.
5.
Ritual
Dan Tradisi Islam Jawa, K.H Muhammad Sholikin, Cetakan Pertama 2010, Terbitan
Narasi.
6.
Lets
Get Married, Panduan Lengkap Menuju Resepsi Pernikahan, Cetakan Jakarta 2007,
Terbitan Swijaya.
7.
Soal
Jawab Tentang Nikah Kahwin, Mohammad Nidzam Abdul Kadir, Cetakan Kedua Oktober
2008, Terbitan Telaga Biru SDN.BHD
8.
Orang
Sumber, Jamilah Binti Ahmad, Kluang Johor.
9.
Orang
Sumber, Tumirah Binti Wagiman, Kluang Johor.
10.
Orang
Sumber, Rosliza Binti Husin, Pasir Gudang Johor.
11.
Mufti
Melaka.gov.my.
12.
Mypustaka
islam.com.my.
13.
Fitrah
islami.blogspot.my.
14.
Hasil
Kajian (pdf) Nur Syahira Binti Ahmad Sarafi (Adat Istiadat Perkahwinan Jawa),
Diploma Pengajian Islam Jabatan Syariah, Akedemi Islam Kolej Universiti
Antarabangsa Selangor, 2013.
15.
Hasil
Kajian (pdf) Rebecca Adams (upacara
pernikahan Jawa), Universiti Muhammadiyyah Malang, Jawa Timur.
16.
Hasil
Kajian (pdf) Widyabakti Sabatari (Busana Pengantin Masyarkat Jawa), Jurusan
PTBB UNY.
17.
Hasil
Kajian (pdf) Hendro Aryantoyo ( Busana Gaya Moden), Jurusan Seni Rupa,
Universiti Negeri Surabaya.
[1]
Mufti Melaka.gov.my
[2]
Al-Quran, surah An-Nahl, ayat 72
[3]
Panduan Fiqh Lengkap, jilid 2, m/s 218
[4]
Mufti Melaka.gov.my
[5] My
Pustaka Islam.com.my
[6]
Fiqh Islam Mazhab Syafie, m/s 175
[7]
Panduan Fiqh Lengkap, Jilid 2, m/s 217-218
[8]
Mufti Melaka.gov.my
[10]
Pdf nur syahira kuis, m/s 35
[11]
Mufti Melaka.gov.my
[12]
Jurnal PPG Kajian etnik Jawa, m/s 13
[13]
Fitrah Islami.blogspot.my
[14]
Pdf Adam fakulti FISIP Universiti Muhammadiyyah Jawa Timur
[15]
Ritual dan tradisi Islam Jawa, m/s 26-27
[16]
Orang Sumber, Jamilah Binti Ahmad
[17]
Ritual Dan Tradisi Islam Jawa, m/s 27
[18]
Ilmu Kearifan Jawa m/s 9
[19]
Pdf Adam fakulti FISIP Universiti Muhammadiyyah Jawa Timur
[20]
Orang Sumber, Tumirah binti Wagiman
[21]
Lets Get married, m/s 35
[22]
Pdf widyabakti, majalah Busana Pengantin
[23]
Pdf Hendro Artoyo, universiti Negeri Surabaya
[24]
Orang sumber, Rosliza Binti Husin
[25]
Ritual Dan Tradisi Islam Jawa m/s 30
Comments
Post a Comment