PENYEDIAAN MAKANAN SECARA SELAMAT

Penyediaan hidangan secara selamat adalah penting untuk memusnahkan bakteria berbahaya yang mengakibatkan keracunan makanan.

Bakteria mudah tersebar pada makanan jika tangan tidak dibersihkan sebelum menyediakan makanan.Pastikan anda membasuh tangan dengan cara yang betul iaitu dengan mengamalkan 7 langkah membasuh tangan. Anda perlu membasuh tangan setiap kali selepas keluar dari tandas, selepas menyentuh makanan mentah seperti daging atau ayam serta selepas anda membuang sampah ke dalam tong sampah.

Selain itu, pastikan ruang dan peralatan untuk memasak seperti pisau dan papan pemotong adalah bersih. Papan pemotong dan kain pengelap yang kotor juga boleh menyebarkan bakteria kepada makanan anda. Gunakan papan pemotong yang berasingan untuk memotong daging dan sayur-sayuran atau buah-buahan. Pastikan kain pengelap yang bersih digunakan secara berasingan untuk mengelap meja dan pinggan mangkuk.

Basuh sayur-sayuran di bawah air yang mengalir untuk membuang segala kekotoran seperti pasir terlebih dahulu sebelum dimasak. Bersihkan daging, ayam atau ikan dengan betul.potong makanan kepada saiz yang kecil untuk memudahkan penyebaran haba ke semua bahagian makanan

Bagi menghapuskan bakteria, pastikan anda memasak makanan sehingga mendidih . Sekiranya anda memasak daging atau ayam pastikan ianya betul-betulmasak. Makanan mentah seperti daging atau ikan mengandungi bakteria yang mudah tersebar sekiranya bersentuhan dengan makanan atau peralatan memasak yang lain. Oleh itu adalah penting agar makanan mentah di simpan berasingan dengan makanan yang sedia dimakan. Ini kerana makanan yang sedia dimakan tidak akan dimasak dan bakteria yang mencemari makanan ini tidak akan dapat dimusnahkan.

Makanan yang telah dimasak dan tidak di makan terus perlu disimpan ke dalam peti sejuk dalam tempoh tidak melebihi 2 jam selepas di masak Pastikan suhu peti sejuk anda adalah di antara 0°C hingga 4°C. Jangan simpan makanan yang telah dimasak lebih daripada 3-4 hari di dalam peti sejuk . Jika anda memanaskan semula makanan tersebut panaskan sehingga mendidih. Jangan panaskan semula makanan lebih daripada satu kali.


Comments

Popular Posts